Resepi Ikan Siakap Masak 3 Rasa Yang Sangat Mudah Dan Sedap.

Assalamualaikum wbt,

Seminggu yang lepas, adik mommy teringin nak makan ikan siakap masak 3 rasa yang paling sedap. Kemudian, adik mommy tadi pergi ke pasar dan membeli beberapa ekor ikan siakap untuk dimasak 3 rasa. Katanya, dia nak masak sendiri jadi mommy membiarkan sahaja. Tiba-tiba, mak panggil mommy suruh masak ikan siakap 3 rasa sebab katanya dia nak bersiap-siap nak balik Johor.



Aduh, mommy terus ke dapur dan dalam masa yang sama capai telefon dan terus menggooglekan diri mencari resepi ikan siakap masak 3 rasa yang sangat mudah, sedap dan bahan tak banyak. Sekali cari, terus keluar resepi kak azie di sini, simple sahaja resepinya dan bahan-bahan pun tak guna banyak sangat. Semuanya dah ada dalam peti ais, maklumlah si pembeli ikan hanya beli ikan semata sahaja.

Masak sendiri lebih puas hati, kerana kita boleh makan banyak dan berkali-kali. Betul kan?Jika dikedai seekor ikan siakap yang besar di masak 3 rasa, harganya pasti mencecah rm50 dan ke atas. Walhal, jika dimasak sendiri ikan siakap seekor baru sahaja berharga rm18-rm20. Masak sendiri pastinya lebih jimat dan puas hati.

Ok, jom kita teruskan ke bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ikan siakap masak 3 rasa yang sangat mudah dan sedap. Memandangkan ada beberapa bahan yang kak azie guna, mommy tidak ada jadi kita masak apa yang ada sahaja. Alhamdulillah, rasanya sedap dan habis ikan diratah kami sekeluarga. Cuma, presentation mommy kurang sikit la. hihi

Bahagian ekor ikan siakap masak 3 rasa mudah dan sedap

Ikan Siakap Masak 3 Rasa
Oleh Mommy Wawa

Untuk Ikan:
1 ekor ikan siakap - dikelar atau dipotong 2 macam mommy buat dan lumur dengan garam kunyit
Tepung jagung / tepung gandum - dilumur pada ikan
Minyak - digunakan untuk menggoreng ikan

Bahan Menumis:
4 ulas bawang putih - diketuk
6 tangkai cili padi - dipotong kecil (mommy kurangkan 2 sebab tak mahu pedas)
1 inci halia - dihiris halus
1 batang serai - diketuk

Bahan Sos:
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan - tak letak
sedikit minyak bijan - optional
2 sudu besar Jus limau nipis



Bahan-bahan Lain:
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 biji tomato - dipotong dadu (mommy buang biji)
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu (mommy tak letak)
Kiub nenas dalam tin - optional (mommy tak letak)
3-4 helai daun limau purut - buang tulang (mommy tak letak)
Daun sup/daun bawang - untuk hiasan
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Secukup rasa

Cara-cara Memasak Ikan Siakap Masak 3 Rasa:
Ikan dibersihkan dan ditoskan sebentar. Lumurkan garam dan kunyit. Lumurkan pula ikan dengan tepung gandum (mommy guna tepung gandum sebab tepung jagung tak ada), lumurkan sekali ke dalam bahagian dalam perut. Panaskan minyak dan goreng sehingga garing. Pastikan ikan digoreng menggunakan minyak yang banyak.



Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan bahan penumis iaitu bawang putih, cili, halia dan serai. Tumis sehingga bawang kekuningan.

Setelah bawang kekuningan, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram dan jus limau. Kacau sebentar

Akhir sekali, dimasukkan bahan-bahan lain iaitu bawang besar, tomato yang dipotong dadu. Masukkan garam, gula dan secukup rasa, sesuaikan rasa mengikut selera anda. Mommy masukkan 1 sudu garam kecil dan 1 sudu kecil gula dan 1 sudu kecil secukup rasa. Masukkan sedikit air, jika ingin kuah yang banjir masukkan air yang lebih supaya ia lebih nampak berkuah.

Hidangkan dan taburkan daun bawang dan sup diatas ikan sebagai hiasan.
Bahagian kepala ikan siakap masak 3 rasa

Selamat Mencuba Resepi Ikan Siakap Masak 3 Rasa yang sangat mudah dan sedap walaupun bahan dirumah anda tidak cukup.