Assalamualaikum wbt,
Syukur kehadrat Allah swt, dengan limpah kurnianya Allah izinkan kita bertemu dengan hari kemenangan umat islam melaksanakan ibadah haji pada tahun 2021 bersama 9 Zulhijjah 1442 hijrah.
Apa itu Hari Raya Aidil Adha?
Hari Raya Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Perayaan ini merupakan perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijjah setiap tahun.
Bermula dengan Takbir AidilAdha pada 9 Zulhijjah selepas solat Subuh, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua waktu ini dipanggil Hari Tasyrik.
Aidiladha ialah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan pada empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam kerana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.
Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakannya tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Kelebihan Melakukan Ibadah Korban
Daripada Imran RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَا فَاطِمَةُ قَوْمِي فَاشْهَدَيِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ، وَقُولِي: إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، فَقَالَ عِمْرَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا لَكَ وَلِأَهْلِ بَيْتِكَ خَاصَّةً، فَأَهْلُ ذَلِكَ أَنْتُمْ، أَمْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً؟ قَالَ: بَلْ لِلْمُسْلِمِينَ عَامَّةً
Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang telah kamu lakukan. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” Maka telah berkata Imran: “Wahai Rasulullah, ini khusus hanya untuk kamu dan ahli keluarga kamu, kerana ahli dalam perkara ini adalah kamu (keluarga Rasulullah SAW) atau ia untuk umat Islam keseluruhannya?.” Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan, ia untuk umat Islam keseluruhannya.”
[Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsath (2509)][Hadith ini dihukum dhaif oleh Ibn Mulaqqin]
Menurut hadis ini, kelebihan orang yang melaksanakan ibadah korban adalah dosanya diampunkan Allah swt dengan setiap titis darah yang keluar dari tubuh haiwan tersebut.
MasyaAllah, hebatkan. Jadi, jika berkemampuan bolehlah melaksanakan ibadah korban yang sangat besar kelebihannya. Dan mohonlah pada Allah, semoga kita semua dapat melaksanakan ibadah korban setiap tahun dan menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan ibadah haji pada usia sebelum 40 tahun dan dalam keadaan sihat walafiat.
Salam Aidil Adha dari Wawa.
3 Comments
Selamat Hari Raya Aidiladha :)
ReplyDeleteSemoga ibadah korban kita diberkati Allah. Aaaminn...
Salam Aidiladha buat Wawa sekeluarga. Moga sambutan tahun ini tetap meriah walaupun kita masih dilanda pandemik.
ReplyDeleteSalam Aidil Adha, moga amalan dan ibadat kita diterima. InshaAllah. Tenang baca, tentang seerah.. Thanks for sharing..
ReplyDeletePost a Comment
Terima Kasih singgah comment. Semoga sentiasa ceria dan bahagia selalu..😊