Tips Miliki Rumah Sendiri Tanpa Hutang Bank
Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah, syukur kehadrat ilahi Allah permudahkan, miliki dan memberi kepada kami sebuah rumah yang indah dan cantik dengan mudah tanpa berhutang selama tiga puluh tahun dengan bank. Pasti menjadi impian semua orang untuk miliki sebuah rumah idaman tanpa berhutang kan? Impian itulah menjadi doa kami sejak awal perkahwinan sehingga kini.
Tips Miliki Rumah Sendiri Tanpa Hutang | Gambar serahan kunci rumah oleh Kontraktor |
Alhamdulillah, Allah izinkan kami miliki rumah sendiri tanpa hutang di usia muda. Terima kasih Allah, nikmat dunia yang Allah kurniakan ini agar menjadi asbab kepada kami terus berusaha menjadi hamba Mu yang bertaqwa. Amin Ya Rabbal Alamin.
Ramai yang bertanya dengan kami, macam mana nak miliki rumah tanpa perlu membeli atau berhutang melalui bank. Kita tahu bahawa jika melalui pinjaman bank, kita perlu membayar lebih dua kali ganda dari jumlah harga yang kita pinjam. Keadaan ini boleh membebankan isi rumah jika pendapatan kita cukup-cukup makan. Jadi, apa solusi yang kita ada untuk elak dari membuat pinjaman bank?
Hari ini, mommy nak kongsikan dengan anda semua tips miliki rumah sendiri tanpa hutang bank. Perkongsian ini sekadar memberi inspirasi dan panduan sahaja, supaya anda dapat capai impian miliki rumah sendiri tanpa hutang.
Apa yang kami buat untuk miliki rumah sendiri tanpa hutang? Tips ini tak semestinya sesuai untuk anda, cuma ia boleh memberi gambaran kepada anda untuk lakukan hal yang sama. Tips ini sesuai untuk anda yang sudah miliki tanah sendiri. Jika belum ada tanah, kos membina rumah sendiri lebih besar.
Pertama sekali, selepas berkahwin pada tahun 2014 kami terus merancang untuk miliki rumah. Tetapi waktu itu, kami tiada duit dan tidak mampu membeli rumah. Memandangkan kami bekerja dalam sektor swasta dan kontrak, lagi sukar untuk membuat pembelian rumah dan jika beli pasti membebankan kami suami isteri.
Apa yang kami lakukan adalah, berbincang suami isteri di mana kami mahu menetap. Walaupun kami pernah travel ke negeri lain, matlamat untuk menetap di Paka sangat jelas. Selepas itu, kami mencari tanah untuk dijual di kawasan yang ingin kami menetap. Kemudian, kami putuskan membeli tanah dikawasan tersebut secara tunai. Macam mana nak beli tanah secara tunai? Mommy akan kongsikan pada entry yang lain pula.
Tips Miliki Rumah Sendiri Tanpa Hutang Bank
1. Target Yang Jelas Untuk Miliki Rumah Sendiri Tanpa Hutang
Target yang jelas amat penting dalam hidup anda untuk miliki rumah sendiri. Ramai yang memandang enteng hal ini, walhal sebenarnya target yang jelas untuk miliki rumah sendiri pada tarikh yang jelas mampu membawa anda untuk capai impian tersebut dengan mudah.
Mommy menulis target ini sejak awal perkahwinan lagi, menulis impian untuk miliki rumah sendiri tanpa hutang. Jika ingin capai impian miliki rumah sendiri, mulakan menulis impian anda sejelas-jelasnya sekarang dan tampal diseluruh rumah, dapur dan bilik tempat yang anda selalu nampak.
Ucapkan impian anda tadi setiap masa, ceritakan pada suami/isteri, anak, ibu ayah, adik beradik dan kawan-kawan. Kerana setiap apa yang kita sebut adalah doa, waima menyebutnya di dalam hati.
2. Berjimat
Selepas mempunyai target, kita akan teruskan dengan tindakan. Apakah tindakan pertama yang patut kita lakukan untuk miliki rumah sendiri tanpa hutang? Ya betul, kita perlu berjimat dalam semua hal termasuk dalam melancong, bercuti dan sebagainya.
Inilah yang kami lakukan sepanjang merialisasikan impian kami untuk memiliki rumah sendiri tanpa hutang. Beruntungnya kami, waktu itu belum miliki anak dan keperluan untuk menyewa sebuah rumah dapat dielakkan memandangkan kerja kami syarikat menyediakan penginapan.
Walaupun kerja ditempat yang sama, kami mengambil keputusan untuk tidak menyewa sebuah rumah bagi mengurangkan kos pengeluaran wang semasa. hihi
Jangan lihat orang lain bercuti ke luar negara, ke dalam negara, tutup mata anda suami/isteri dan anak-anak, jika duit bercuti anda itu boleh disimpan, kenapa tak simpan kan? Tak perlu tengok orang bercuti ke sana ke mari, semata-mata untuk puaskan hati sendiri.
3. Simpan
Simpan duit anda di bank yang tidak mempunyai kad. Elakkan budaya menggunakan duit simpanan jika duit belanja bulanan tidak mencukupi. Setiap bulan anda ada perbelanjaan tetap bulanan kan, asingkan siap-siap, supaya anda tidak menggunakan duit simpanan untuk miliki rumah sendiri tanpa hutang.
Tahan nafsu dari semua benda yang tidak berfaedah. Gunakan tips, simpan dulu baru asingkan duit belanja bulanan. Bila buat macam ini, anda akan lebih berhati-hati untuk menggunakan wang kepada benda yang tidak berfaedah.
4. Beri Duit Pada Mak Ayah
Bila dapat gaji, perkara pertama yang anda perlu buat adalah cabut duit atleast rm50/rm100/rm150/rm200~rm10,000 kepada mak ayah anda. Berilah mengikut kemampuan gaji anda. Jika gaji rm1000, bagilah kat mak ayah rm100. Jika gaji anda rm5000, bagilah dekat mak ayah rm500. Jika gaji anda rm10,000, bagi laa kat mak ayah rm2000. Terpulang kepada anda berapa nak bagi. Tetapi, jika anda memberi banyak, maka banyaklah anda akan dapat.
Budayakan gaji anda untuk memberi kepada mak ayah terlebih dahulu. bukan selepas cabut duit perbelanjaan anda dan selebihnya baru bagi kat mak ayah. Tips ini mommy lakukan sejak dahulu lagi. Dapat je gaji, terus transfer dekat mak. Jangan risau tak cukup, pasti Allah akan ganti balik dengan yang lebih baik.
5. Berapa Nak Simpan?
Bergantung kepada target anda, jika bajet rumah nak buat dalam RM100,000 dan tahun bila nak rumah kita siap. Jika 4 tahun, maka bahagikan Rm100,000 kepada 4 tahun iaitu RM2083 simpanan untuk sebulan. Jika suami isteri kerja, rm2083 ini mommy rasa tak membebankan untuk disimpan. Kan?
Jika tidak, anda boleh ubah tahun bila anda nak siapkan rumah tersebut. 5 tahun, 6 tahun terpulang kepada anda. Cuma, mommy boleh sarankan anda boleh doakan setiap masa insyaAlllah
6. Beli Emas Fizikal Untuk Simpanan
Selain simpan wang, anda juga boleh menyimpan wang melalui emas fizikal. Beli emas fizikal dalam gram yang besar. Ini kerana, emas fizikal boleh bantu anda untuk topup simpanan wang jika ia tidak mencukupi.
Caranya, anda boleh gunakan emas fizikal dengan membuat gadaian di arrahnu Yapeim atau Maidam. Melalui cara ini, anda akan dapat dua faedah iaitu duit dan emas. Cuma anda perlu membayar jumlah pinjaman anda dalam masa enam bulan. Anda akan dapat duit dan emas dalam masa yang sama.
Ini yang mommy guna untuk tambah simpanan yang tak cukup. Bestnya, kita boleh langsai pinjaman di Arrahnu kurang dari 6 bulan sebab nak dapat balik emas fizikal kita. Untung sebenarnya kalau ada simpanan emas fizikal.
Macam mana nak simpan emas fizikal? Caranya lagi, anda beli seberapa banyak emas. Walaupun dah ada rantai atau rantai tangan, beli baru dan yang lama jangan jual. Jadi, emas anda akan semakin bertambah. Bukan beli tiap-tiap bulan tau, sekurangnya belilah setahun sekali dengan berat 20 gram dan ke atas. Ia sangat membantu anda untuk miliki rumah sendiri tanpa hutang bank.
7. Cari Kontraktor Yang Dipercayai
Selepas cukup wang yang kita kumpul, bolehlah cari kontraktor yang dipercayai dan sesuai dengan bajet anda. Ataupun, untuk lebih jimat anda boleh upah orang perseorangan untuk membuat rumah impian anda.
Semua tips diatas perlu dilaksanakan dengan konsisten dan disiplin untuk dapatkan hasil dan miliki rumah sendiri tanpa hutang bank. Tips ini juga sesuai kepada anda yang belum mempunyai simpanan khusus untuk miliki rumah.
Paling penting untuk miliki rumah sendiri tanpa hutang adalah, anda perlu menjadi suami isteri yang sangat penjimat. Lupakan hasrat untuk melancong setiap tahun, lupakan hasrat bercuti setiap bulan dan nak beli barang branded. Lupakan sementara, selepas anda memiliki kediaman sendiri tanpa berhutang, pasti semua yang anda lupakan sebelum ini dapat dilunaskan dengan rasa senang hati.
Cabaran kami sangat banyak, antaranya dikatakan kedekut sebab tak pernah bercuti, tak menyewa, dan macam-macam lagi. Usah biarkan kata-kata orang menghantui fikiran anda, tetapkan matlamat dan impian anda, InsyaAllah semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah, diusia yang masih muda kami mampu miliki rumah sendiri tanpa hutang. Terima kasih Allah atas izin Mu ini.
Mommy masih belum naik rumah lagi, tunggu langsir rumah siap baru masukkan barang dan insyaAllah akan masuk rumah akhir tahun ini juga. Doakan urusan mommy dan keluarga dipermudahkan ye.
Semoga bermanfaat.
0 Comments
Post a Comment
Terima Kasih singgah comment. Semoga sentiasa ceria dan bahagia selalu..😊