Assalamualaikum wbt,

Jom kenali hormon kita..")


Hormon estrogen

ESTROGEN adalah hormon utama bagi menentukan pembentukan seks atau jantina individu. Sekiranya, paras estrogen dalam badan tinggi maka ciri-ciri wanita akan lebih menonjol.

Pada masa sama, ia juga menzahirkan sifat kewanitaan dan berfungsi untuk membentuk tubuh badan wanita, payudara dan kitaran haid pada setiap bulan serta menjadi kunci terhadap kesuburan wanita.

Estrogen akan dialirkan oleh darah menuju pelbagai jaringan sel di seluruh badan, otak, faraj, buah pinggang dan lain-lain serta menimbulkan kesan tertentu sesuai dengan fungsi masing-masing. Ini berikutan, molekul estrogen akan melekat pada reseptor dan menghasilkan tindak balas pada organ.

Kadar estrogen

Kadar normal estrogen bergantung kepada usia. Wanita berusia antara 20 hingga 29 tahun lazimnya, memiliki kadar estrogen sehingga 149 piktogram per mililiter (pg/ ml), manakala wanita berusia 30-an, purata jumlahnya adalah 210 pg/ml.

Bagi mereka berusia lebih 40 tahun dan masih belum mengalami menopaus akan memiliki tingkatan estrogen, sekitar 152 pg/ ml. Peningkatan estrogen seseorang wanita itu pelbagai dari sehari ke sehari bergantung kepada kitaran haidnya.

Menjelas lanjut mengenai hormon, pakar estetik Marissa Aesthetic & Wellness, Dr Rushmini Maris Ismail, berkata sistem hormon berperanan penting untuk memastikan keremajaan dan kualiti kesihatan seseorang.

Kepentingan hormon

Katanya, hormon dilengkapi dengan sistem kompleks yang berpusat pada otak manusia dan dikawal kelenjar pituitari bertujuan merangsang serta mengaktifkan hormon lain dalam tubuh.

"Bayi baru lahir mempunyai sistem hormon sedang berkembang dan lengkap apabila mencapai kematangan. Hormon pertumbuhan atau growth hormone (GH) memastikan anak berkembang menjadi dewasa. Jumlah hormon mencukupi membuatkan tubuh segar dan sihat.

"Bagi golongan dewasa pula, hormon estrogen dan progestron penting untuk wanita, manakala testeron buat lelaki," jelasnya.

Dr Rushmini berkata, sistem hormon banyak mempengaruhi rutin kehidupan. Justeru, antara hormon yang perlu dirangsang adalah adrenalin kerana ia bertindak memberi tenaga dan perasaan baik kepada kita manakala melatonin mengawal kitaran tidur serta bertindak sebagai hormon menghalang barah.

Hormon calcitonin pula menjaga paras kalsium dalam tubuh dan hormon dhea serta insulin mempunyai fungsi menukarkan gula kepada tenaga bahkan menjana tenaga.

"Hormon seperti leptin pula penting bagi menjaga sel lemak menyebabkan seseorang akan menjadi obesiti jika ia gagal berfungsi. Sementara endorphin dan serotonin ialah bahan menyerupai hormon dan kehadirannya menjadikan otak kita cergas selalu," katanya.

Kadar hormon rendah

Penuaan menyebabkan salur darah halus membawa zat dan nutrisi kepada kelenjar hormon menjadi kecut dan akhirnya tersumbat. Ini membawa kepada kematian sel dan hormon tidak lagi dapat di hasilkan.

Ketiadaan hormon memberi kesan ketara kepada kulit dan menjadi kendur, ingatan kurang tajam, penglihatan semakin kabur malahan turut alami tekanan emosi.

"Ketiadaan hormon estrogen dan progesteron menyebabkan wanita memasuki fasa menopaus kerana tiada sel hormon berdikari membuatkan mereka sering murung, masalah tulang rapuh, rambut gugur, kulit berkedut, jeragat, kulit badan gatal dan kekeringan vagina serta banyak lagi.

"Begitu juga lelaki apabila usia melebihi 40an mereka melalui tanda andropause iaitu sering keletihan, kurang keupayaan seks, wajah murung dan perasaan menjadi tidak ceria. Ingatan juga terganggu dan mereka mula diserang masalah jantung," katanya.

Dr Rushmini berkata, ada juga mereka yang diserang gejala kekurangan hormon secara berperingkat seperti penurunan melatonin menjadikan kualiti tidur terganggu. Keadaan ini disebabkan masalah psikiatri.

Ejen perosak

Jelasnya, ada juga antara individu mengalami tekanan perasaan dan kemurungan lalu tampil mendapatkan bantuan dengan mengambil ubat sakit jiwa.

"Kekurangan hormon calcitonin pula menjadikan tulang rapuh, ringan tidak padat serta mudah patah. Kalsium diminum tidak boleh menyerap ke dalam tulang jika tiada bantuan hormon ini," katanya.

Kelenjar hormon sensitif terdedah kepada pelbagai ancaman ejen perosak hormon yang wujud dalam makanan, kosmetik, botol plastik, pembungkus makanan, racun serangga dan lainlain.

Katanya, kesan hormon rosak berlaku perlahan. Pada peringkat awal, seseorang kerap keletihan dan masalah berat badan pula menyusul.

"Antara bahan berbahaya seperti nonylphenol terkandung dalam pencuci racun serangga dan bahan plastik. Phthalates pula dicampurkan di dalam PVC banyak digunakan untuk pembuatan permainan kanak kanak dan perabot. Malah, logam berat seperti plumbum juga membawa bahan perosak hormon meskipun ia bahan semula jadi dalam tumbuhtumbuhan," katanya.

Pemulihan hormon

Dr Rushmini berkata, rawatan pemulihan boleh dibuat menerusi terapi hormone bioidentical bagi merangsang darah menghasilkan hormon yang tinggi.

"Rawatan ini membuatkan kilang terlalu aktif mula berehat. Tempoh ini sangat penting bagi proses baik pulih kelenjar hormon untuk merangsang kembali penghasilannya, sekali gus penyembuhan mula terjadi.

"Proses penyembuhan menjadikan seseorang kelihatan lebih muda, kembali cergas, meningkatkan kualiti struktur kulit dan tampak lebih segar. Ingatan juga lebih kuat, malahan penglihatan mata pulih. Jangka masa rawatan adalah di antara tiga bulan sehingga beberapa tahun bergantung kepada tahap kemerosotan hormon," katanya.

Terapi pemulihan hormon:

Kaedah rawatan ada pelbagai cara dan ia bergantung masalah kadar penurunan hormon

- Suntikan

- Pengambilan pil

- Sapuan krim

- Semburan 10 tanda kekurangan keseimbangan hormon

- Keletihan walaupun selepas berehat atau tidak melakukan aktiviti berat sepanjang hari.

- Mengalami masalah tidur malam.

- Mengalami tanda menopaus pada awal usia bagi wanita berusia 30-an.

- Hilang nafsu syahwat bagi lelaki.

- Jika berat badan menurun atau meningkat secara mendadak.

- Kawalan perasaan tidak seimbang.

- Mengalami masalah kulit seperti kekeringan atau tanda perubahan lain.

- Masalah jangkitan pundi kencing atau bahagian mulut, hidung dan mata sering kering.

- Tanda fizikal seperti perubahan bau badan, mulut terasa panas, keanjalan payudara dan kesakitan otot atau masalah keguguran rambut.

- Sering berhadapan masalah ingatan dan tidak mampu memberikan tumpuan.

Kredit to Fatin Hafizah Mohd Shahar