Assalamualaikum wbt,

Penyusuan susu ibu adalah proses semulajadi selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun bagi ibu yang pertama kali, proses penyusuan mungkin ada sedikit cabaran. Namun begitu, ia boleh diatasinya sekiranya proses penyusuan ini dilalui bersama sokongan dari pasangan dan orang-orang sekeliling. Terdapat beberapa cabaran yang akan dilalui oleh ibu semasa proses penyusuan ini berlaky. Berikut adalah tiga cabaran biasa berlaku semasa proses penyusuan susu ibu.


3 Cabaran Utama Penyusuan Susu Ibu

  1. Tidak Cukup Susu
  2. Puting Melecet
  3. Kebengkakan Payu Dara

Tidak Cukup Susu

Cabaran pertama bagi ibu yang menyusu adalah tidak cukup susu. Seawal kelahiran, pasti ibu dan orang sekeliling terutamanya menganggap ibu selepas bersalin tidak cukup susu. Ini dilihat apabila anak sering menangis dan menganggap ibu tidak cukup susu. Seterusnya mereka mengambil jalan mudah dengan mencampurkan susu formula.

Apakah benar susu ibu tidak cukup untuk bayi? 


Ini adalah tidak benar sama sekali. Penghasilan susu ibu berkurangan adalah disebabkan oleh kurang stimulasi. Ia adalah akibat daripada perkara-perkara berikut:
  • Ibu kurang memberi susu secara terus kepada bayi.
  • Kedudukan bayi tidak betul dan bayi tidak dapat menyusu dengan berkesan.
  • Ibu memberi susu formula lebih awal dan menyebabkan bayi kurang berminat dengan susu ibu.
  • Ibu menyusu bayi hanya sebelah payu dara.
  • Ibu mengalami tekanan emosi.

Cara Atasi Kekurangan Susu

  • Susukan bayi sekerap yang boleh mengikut kehendak bayi.
  • Pastikan masa antara penyusuan tidak melebihi 2 jam.
  • Pastikan bayi melekap dengan betul.
  • Menyusu dari kedua-dua belah payu dara.
  • Dapatkan rehat secukupnya dan cuba bertenang semasa menyusukan bayi.

Perbaiki pengambilan makanan anda. Makan makanan yang tinggi protein seperti ikan, ayam, daging, telur kekacang dan makanan yang tinggi vitamin seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain daripada itu, pengambilan supplemen untuk perbanyakkan susu ibu juga penting. 

Baca : Set Supplemen Perbanyakkan Susu Ibu

Bagaimana nak pastikan bayi cukup susu?

  • Bayi menyusu sekurang -kurangnya 8 kali dalam masa 24 jam.

  • Bayi membuang air kecil sebanyak 6 kali atau lebih, air kecil berwarna kekuningan dan membuang air besar berwarna kekuningan 3 ke 8 kali dalam masa 24 jam.
  • Berat badan bayi meningkat secara konsisten selepas berumur satu minggu dan mengikut graf pertumbuhan.
  • Payudara anda mungkin rasa ringan selepas menyusu atau susu meleleh keluar dari payudara yang sebelah apabila bayi menyusu pada yang sebelah lagi.
  • Bayi cergas dan kelihatan puas antara penyusuan.
  • Bayi mempunyai otot yang pejal dan kulit yang sihat.
  • Corak penyusuan bayi berubah-ubah, ibu boleh mendengar atau melihat bayi menelan.

Puting Melecet


Cabaran ibu menyusu yang baru pertama kali melaluinya, pasti akan mengalami masalah puting melecet. Ia juga pernah berlaku kepada saya sendiri, bila mana kita belum biasa dengan proses penyusuan ini. Puting melecet boleh menyebabkan emosi ibu terganggu kerana sakit, terlalu memikirkan tentang anak tidak boleh menyusu dan ketidak selesaan pada ibu.

Puting melecet berlaku kerana beberapa faktor, antaranya adalah:

  • Meletakkan bayi dalam posisi yang salah.
  • Penjagaan puting yang tidak betul.
  • Teknik penyusuan yang tidak betul.
  • Mulut bayi tidak melekap dengan betul dibahagian areola payudara ibu.

Cara Atasi Puting Melecet

  • Pastikan posisi ibu dan teknik meletakkan bayi ke payu dara adalah betul.
  • Jangan menggunakan pelindung plastik pada payu dara kerana bahan tersebut tidak meresap peluh.
  • Elakkan menggunakan coli yang diperbuat dari bahan sintetik kerana ia meningkatkan perpeluhan dan kurang aliran udara.
  • Bersihkan payu dara dengan air sahaja, jangan guna sabun kerana boleh mengeringkan kulit.


Kebengkakan Payu Dara


Kebengkakkan payu dara adalah disebabkan peningkatan isipadu susu yang mengakibatkan kongesi (sesak) salur darah di dalam payu dara. Ia berlainan dengan kepadatan payu dara. Payu dara yang padat masih boleh ditekan, lembut dan fleksibel. Bengkak susu boleh menyebabkan susu tidak dapat keluar dan menyukarkan bayi untuk menyusu.

Tanda-tanda Kebengkakan Payu Dara

  • Payu dara menjadi keras dan sakit, kelihatan berkilat.
  • Bahagian areola kelihatan pejal.
  • Payudara mengalami bengkak, keras, ngilu dan sakit.
  • Keadaan sekitar payudara mengalami kemerah-merahan, terasa panas dan terdapat benjolan keras apabila disentuh.
  • Puting menjadi bengkak, bahagian areola mengeras sehingga menyukarkan bayi untuk menyusu.
  • Kelenjar pada bahagian ketiak turut mengalami bengkak dan sakit.

Cara Atasi Bengkak Susu

Sekiranya berlaku pembengkakan susu, apa yang perlu ibu lakukan adalah:
  • Sebelum penyusuan dimulakan, keluarkan sedikit susu untuk melembutkan payu dara supaya mudah untuk bayi menghisapnya.
  • Tuam payu dara dengan menggunakan tuala dan air suam untuk melancarkan pengaliran susu.
  • Gunakan tuaman sejuk di antara penyusuan untuk mengurangkan sakit dan kebengkakkan.
  • Selepas penyusuan, jika payu dara masih bengkak, keluarkan susu yang ada.
  • Susukan bayi anda dengan kerap.
  • Sewaktu bengkak, perah susu dengan tangan. Perbuatan ini dapat membantu mengekalkan kelembutan areola.
  • Menuam (tuam) payudara anda dengan air batu sebelum dan selepas menyusukan bayi.

Cara Elak Bengkak Susu

Bengkak susu boleh dielakkan jika ibu mengamalkan tips-tips dibawah:
  • Menyusukan bayi dengan kerap, sekurang-kurangnya 10-12 kali sehari.
  • Teknik penyusuan yang betul.
Jika masalah bengkak yang dialami terlalu menyakitkan, anda boleh memakan ubat yang bersesuaian. Namun, pastikan anda mendapat nasihat dan rundingan daripada doktor terlebih dahulu.

Selain daripada itu juga, ibu-ibu perlu mengamalkan supplemen lecithin daripada shaklee, kerana ia sangat membantu menghilangkan bengkak susu dengan cepat dan berkesan. Lecithin membantu mengemulsi (memecahkan lemak-lemak) dibahagian payu dara menjadi kecil dan memudahkan pengaliran susu ibu.

Elakkan Lakukan Dua Perkara Ini Sekiranya Mengalami Bangkak Susu

1. Daun Kubis

Dikatakan apabila bengkak susu, kita perlu meletak daun kubis untuk menyejukkan payu dara dan mengurangkan rasa sakit. Namun, dalam masa yang sama di dalam kubis mengandungi enzim yang boleh menyebabkan ‘kilang pengeluaran’ susu mengecut dan ini boleh mengakibatkan pengeluaran susu ibu berkurangan. Seandainya anda masih mahu meletakkannya, disarankan untuk meletakkan dalam tempoh yang sekejap sahaja.

2. Pam Susu Ketika Payu Dara Bengkak

Sememangnya bengkak susu ini berlaku kerana susu yang berlebihan tidak dikeluarkan. Tetapi sebaiknya, anda elakkan daripada mengepam susu ketika payudara masih terlalu bengkak. Ini kerana ada yang mengatakan ia boleh menyebabkan bengkak lambat surut dan berisiko mengakibatkan keadaan semakin melarat.

Pilihlah untuk menggunakan tangan. Tangan anda boleh merasai setiap satu saluran pada payudara. Malah, keadaan tangan yang panas juga dipercayai dapat melancarkan aliran susu yang tersumbat. Apabila keadaan bengkak pada payudara sudah berkurangan, anda boleh memilih untuk menggunakan pam susu. Namun, pastikan anda menggunakan mod mengepam yang paling ringan.