Assalamualaikum wbt,

Kerajaan Negeri Terengganu Batalkan Bazar Ramadhan 2020 | KENYATAAN MEDIA BERKAITAN BAZAR RAMADHAN.
Bazar Ramadhah Terengganu Batal
Gambar Google

Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius akan masalah Covid-19 yang sedang melanda negeri dan negara kita ketika ini.

Kerajaan Negeri juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas komitmen tinggi rakyat negeri ini yang berjaya melepasi paras 95 peratus kepatuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 18 Mac lalu dan berharap komitmen rakyat ini akan berterusan hingga ke akhirnya.

Memandangkan PKP telah dilanjutkan lagi sehingga 14 April depan, iaitu 10 hari sebelum Awal Ramadhan, dan mengambilkira suasana tidak menentu ketika ini, Kerajaan Negeri telah mengkaji kesesuaian pelaksanaan Bazar Ramadhan tahun ini.




Ini disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar dan akan memberi kesan kepada kebarangkalian untuk berlaku penularan semula Virus Covid-19 sekaligus merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya.

Bagi mencapai hasrat pembasmian wabak ini secara total, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini MEMBATALKAN penganjuran Bazar Ramadhan tahun ini berasaskan kepada klasifikasi Bazar Ramadhan yang tidak termasuk dalam kategori 'essential services'. Perkara berkaitan pembatalan ini juga telah DIPERSETUJUI dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu Bagi Menangani Covid-19 Bil. 3/2020 pada 29 Mac 2020 dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu.

Kerajaan Negeri juga menyarankan kepada para peniaga Bazar Ramadhan untuk membuat persediaan akibat pembatalan ini dengan mempertimbangkan alternatif-alternatif lain seperti berikut:-

i) mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian (online);

ii) perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan;

iii) menggunakan platform seperti Grab Food, Food Panda atau yang seumpama dengannya; atau

iv) apa saja alternatif lain yang difikirkan sesuai.

Kerajaan Negeri telah pun memperhalusi perkara ini dengan sebaiknya dan pembatalan ini dibuat setelah mengambilkira kemaslahatan kesihatan serta nyawa semua pihak.




Untuk rekod, Negeri Sembilan telah pun memutuskan untuk membatalkan penganjuran Bazar Ramadhan di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri tersebut sebagaimana pengumuman oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan pada 26 Mac baru-baru ini.

Semoga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuhi ujian ini.

Marilah sama-sama kita berdoa agar negeri serta negara kita akan pulih sepenuhnya daripada Virus Covid-19 ini.

Kepada Allah kita berserah.

Salam hormat.

'TERENGGANU MAJU, BERKAT, SEJAHTERA'

Y.B. DR. HAJI ALIAS BIN RAZAK
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu
30 MAC 2020