Assalamualaikum wbt,
Tekanan Darah Tinggi
Apakah
itu darah tinggi?
Setiap orang mempunyai tekanan darah.
Apabila darah dipamkan melalui arteri, daya tenaga akan terhasil pada dinding
dalam saluran darah. Jumlah darah yang dipam oleh jantung dan daya tahan yang
diberikan oleh arteri akan menentukan tekanan darah kita. Tekanan darah
dicatatkan dalam 2 angka. Angka di atas (tekanan darah sistolik) mengukur
tekanan apabila jantung mengepam darah keluar. Angka yang di bawah pula (tekanan
darah diastolik) mengukur tekanan apabila jantung berehat. Tekanan darah
berbeza-beza mengikut masa tertentu dalam sehari dan aktiviti yang kita lakukan.
Ia perlu diperiksa beberapa kali untuk menentukan purata tekanan darah tinggi yang
tepat.
Apakah
itu tekanan darah tinggi?
Apabila anda dikatakan mendapat darah
tinggi atau hipertensi, ia bermakna saluran darah anda menjadi sempit dan sesak
menyebabkan jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk mengatasi kesempitan
itu. Bila ini terjadi darah akan menekan lebih kuat ke dinding saluran darah
untuk laluannya ke tisu badan. Lama-kelamaan, mendapan lemak akan tersangkut
dan terkumpul pada dinding menyebabkan arteri menjadi keras. Proses ini
dikenali sebagai aterosklerosis. Jantung sekarang terpaksa berkerja lebih kuat
untuk menolak darah melalui arteri-arteri yang sempit dan keras ini. Oleh yang
demikian, tekanan darah akan tercatat lebih tinggi atau bersamaan 140mm hg
untuk tekanan sistolik dan lebih tinggi atau bersamaan 90mm Hg untuk tekanan
diastolik, walaupun dalam masa rehat. Kadang-kala darah beku terjadi di celah-celah
saluran arteri yang sempit ini menyebabkan berlakunya serangan jantung atau
strok (angin ahmar).
Tanda
dan gejala
Tekanan darah tinggi dikenali sebagi
"pembunuh senyap" kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala. Ia
boleh membawa kepada masalah yang lebih serius dan kadang-kala boleh mengancam
nyawa seseorang itu jika tidak dirawat. Bagaimanapun ia sebenarnya boleh dikawal
dan diuruskan dengan baik. Jadi, bagaimana anda akan tahu yang anda menghidapi
tekanan darah tinggi?
Cara yang terbaik adalah melakukan
pemeriksaan tekanan darah setiap tahun dengan kakitangan kesihatan bagi menentu
dan mengesan lebih awal masalah ini.
Kenapa
kita perlu memahami tekanan darah tinggi?
Kebanyakan orang yang menghidap tekanan
darah tinggi tidak tahu menahu mengenainya. Anda tidak dapat merasainya dan
kerana itulah ianya sangat merbahaya. Pesakit yang menghidap tekanan darah
tinggi mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat penyakit-penyakit
kardiovaskular dan kerosakan beberapa jenis organ tertentu dalam badan.
Didapati antara 20 hingga 50% dari kematian
biasa adalah disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Bahkan, 20% dari orang
dewasa di seluruh dunia menghidapi masalah ini dan 5% dari kanak-kanak juga
turut terlibat. Di Malaysia (mengikut Kajian Kesihatan dan Morbiditi 1996)
prevalens tekanan darah tinggi adalah sebanyak 24%.
Bagaimanakah
tekanan darah diukur?
Doktor atau kakitangan kesihatan akan
mengambil tekanan darah anda. Ukurannya perlu dibuat dengan betul sama ada
secara langsung ataupun tidak langsung. Terdapat
3
Alat yang biasanya digunakan dan diterima pakai:
- Alat sfigmomanometer, sama ada yang menggunakan lajur raksa atau aneroid.
- Peranti elektronik yang disahkan.
- Peranti tekanan darah ambulatori automatik
Langkah-langkah lain yang perlu dipatuhi
untuk mendapat ukuran yang betul ialah:
- Berehat selama 5 minit dan duduk dengan selesa. Tangan hendaklah terdedah dan diampu pada meja atau permukaan yang rata pada paras jantung.
- Jangan mengambil minuman yang mengandungi kafein atau merokok 30 minit sebelum prosedur ini.
- Jangan melakukan aktiviti/kerja yang berat sebelum tekanan darah diambil.
Tekanan darah tinggi tidak boleh
didiagnoskan dengan hanya mengambil ukuran sekali sahaja. Ia perlu disahkan
dalam masa sebulan. Walau bagaimanapun, jika tedapat faktor-faktor risiko yang
lain seperti penyakit organ tertentu atau diabetes, rawatan hendaklah diberi
tanpa berlengah-lengah.
Kenapa
seseorang itu mendapat tekanan darah tinggi?
Anda boleh mendapat tekanan darah tinggi
sekiranya anda merupakan seorang lelaki atau seseorang yang mempunyai latar
belakang keluarga mengalami serangan jantung atau angin ahmar (strok) pada usia
muda. Faktor lainnya mungkin disebabkan keturunan seperti kecenderungan menghidap
darah tinggi atau kegemukan. Bagaimanapun sesetengah faktor risiko ini merupakan
sesuatu yang anda sendiri lakukan (pilihan) seperti merokok, suka memakan makanan
yang tinggi lemak atau berminyak dan tidak bersenam secukupnya.
Terdapat beberapa faktor yang boleh dikawal
dan ada juga faktor yang di luar kawalan anda. Perhatikan senarai yang tercatat
di bawah ini dan lakukan sesuatu untuk menurunkan tekanan darah anda.
Faktor
yang anda boleh kawal
- Berhenti merokok- untuk mencegah penyempitan saluran darah anda
- Senaman- boleh membantu menurunkan berat badan dan mengurangkan tekanan darah.7 Memakan makanan rendah lemak dan seimbang – untuk mengawal berat badan7 Kurangkan pengambilan alkohol - alkohol meningkatkan tekanan darah anda7 Kurangkan pengambilan garam - natrium boleh meningkatkan tekanan darah.7 Kurangkan stres - tekanan mental atau stress boleh meningkatkan tekanan darah. 7 Pil perancang keluarga - sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
- Memakan makanan rendah lemak dan seimbang- untuk mengawal berat badan.
- Kurangkan pengambilan alkohol- alkohol meningkatkan tekanan darah anda
- Kurangkan pengambilan garam- natrium boleh meningkatkan tekanan darah.
- Kurangkan stres- tekanan mental atau stres boleh meningkatkan tekanan darah.
- Pil perancang keluarga- sering dikaitkan dengan tekanan darah tinggi.
Faktor di luar kawalan anda
- Jantina- kaum lelaki lebih mudah mendapat tekanan darah tinggi.
- Umur- darah tinggi meningkat mengikut umur
- Bangsa- kajian telah menunjukkan sesetengah kaum/bangsa lebih mudah mendapat penyakit ini.
- Keturunan- risiko mendapat tekanan darah tinggi adalah lebih tinggi
- Diabetes- bagaimana diabetes membawa kepada sakit jantung masih belum jelas, tetapi kita tahu bahawa diabetes mencetuskan pembentukan aterosklerosis yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan mengurangkan peredaran darah ke bahagian kaki.
Sumber : Jabatan Kesihatan Negeri Selangor
1 Comments
kena rajin bersenam. maklum la, lepas jer alam sekolah atau universiti, memang susah sikit nak cari masa untuk bersenam.
ReplyDeleteasyik dok pejabat dan mengadap komputer jer :D
Post a Comment
Terima Kasih singgah comment. Semoga sentiasa ceria dan bahagia selalu..😊