Assalamualaikum wbt,

Keadaan dalam rumah Zainal yang sudah bocor teruk bumbungnya manakala dinding rumah banyak yang sudah berlubang dan reput.
KEADAAN ekonomi sebuah keluarga yang sudah sedia dihimpit kemiskinan di Kg Simpangan (Sungai Gali), Tumpat, Kelantan kian sempit selepas rumah tempat berlindung pula rosak teruk dijilat api, baru-baru ini. 

Pihak surau kampung berkenaan kemudiannya tampil membantu dengan menampal dinding yang berlubang akibat kebakaran namun keadaan rumah yang dihuni keluarga Zainal Awang, 41, masih kelihatan daif.
Memang menyedihkan. Apa yang boleh dikatakan rumahnya sekadar untuk berlindung daripada hujan dan panas semata-mata, dapur sering tak berasap kerana ketiadaan barang dapur manakala tandas tidak dibina di dalamnya untuk jimatkan kos.
Bahagian dapur rumah Zainal yang kadangkala tak berasap.
Demi empat anak yang perlukan makanan untuk masuk ke perut saban hari, Zainal berusaha keras mencari pendapatan dengan melakukan kerja-kerja kampung termasuk bertukang dan menyalurkan tenaga tulang empat keratnya buat sesiapa sahaja demi sedikit upah.
Biasanya dia hanya mampu memperoleh sekitar RM30 sahaja sehari, jumlah yang sekadar ‘cukup-cukup makan’ sebelum perlu mengais rezeki lain keesokan harinya.
Keempat-empat anak Zainal iaitu Nurul Alisya, 16, Nurul Aliya Nadhira, 15,  Nurul Ilyanis, 10, dan Mohd Zairul Hilman, 6, dijaganya sendiri selepas berpisah dengan isteri dua tahun lalu.
Kini menjelang tahun baru 2016, bukan soal makanan buat anak-anak sahaja yang difikirkan Zainal tetapi kos untuk mereka memulakan sesi persekolahan baharu turut buat fikirannya buntu. Hingga ke saat ini tidak ada sebarang persediaan dapat dibuat kerana keadaan kewangan yang terhad.

Zainal (kanan) bersama anak bongsunya, Mohd Zairul Hilman, 6.
Justeru, insan-insan pemurah di luar sana diseru untuk membantu meringankan beban ditanggung Zainal sekaligus dapat membantu keempat-empat anaknya meneruskan persekolahan seperti rakan sebaya mereka.
Selain wang ringgit, keluarga ini boleh dibantu dengan menyalurkan sumbangan berupa peralatan, buku dan baju sekolah selain barangan dapur dan keperluan hidup lain.
Difahamkan kerana kasihan melihat kepayahan Zainal membesarkan anak-anaknya dengan sempurna, penghulu kampung Sha’ari Abd Kadir pernah menyarankan agar anak-anaknya itu ditempatkan di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat namun dibantah olehnya yang berkeras, mahu berusaha selagi mampu dengan tulang empat keratnya.
Justeru bagi mereka yang memerlukan khidmat tukang, anda boleh juga membantu keluarga ini dengan memberikan pekerjaan kepada Zainal yang mempunyai kemahiran bertukang.
Selain itu, keadaan rumah keluarga ini juga memerlukan bantuan agar Zainal dan anak-anak dapat hidup lebih selesa. Antara yang perlu dibetulkan adalah bumbung yang bocor teruk, dinding berlubang dan reput, ketiadaan elektrik serta bekalan air paip yang kecil disebabkan tekanan rendah.
Pada masa sama, ketiadaan tandas menimbulkan masalah sanitasi kerana anggota keluarga ini terpaksa ke Sungai Golok berhampiran rumah untuk melepaskan hajat, dan situasi ini sudah tentu kurang manis buat anak-anak Zainal yang sudah mencecah usia gadis sunti.

Untuk sebarang bantuan persekolahan, tawaran kerja dan sebagainya, bolehlah salurkan ke akaunMaybank 1530 9207 1962 atau berhubung dengan Zainal sendiri di talian 011 14928540.