Assalamualaikum wbt,

Saat wawa menghayati story ini, Allah sungguh rasa dekatnya anak ini. Ikhlasnya hati anak ini, walaupun dimarah beribu kali dek kenakalannya. Tiada dendam dihati..

Mungkin antara kita boleh belajar dari anak sekecil ini. Ikhlas tanpa membenci.")



JIKA IKHLAS MASIH SUKAR, CUBA BELAJAR DARI KANAK - KANAK PULA!

Semua cerita di atas memang menginspirasikan kita untuk ikhlas, cuma saya khuatir masih ada 'tapi' dalam minda kita. Ada yang bertapi, 'ahli perniagaan yang ustaz ceritakan tu bolehlah ikhlas. Dia dah kaya. Saya ni motor pun belum mampu beli lagi...'

Mungkin ada yang beralasan 'ustaz, tiga pemuda itu hidup di zaman Rasulullah. Zaman segalanya mungkin. Zaman Rasulullah ada depan mata untuk kita belajar ikhlaskan hati...'

Jika segala ayat Al-Quran, hadis Rasul dan cerita kecil saya di atas sukar kita hadam, saya akan bawakan contoh lebih mudah. Contoh lebih kecil agar kita tiada alasan lain selepas ini untuk belajar mempraktikkan ikhlas.

Kisahnya datang dari seorang murid saya, pelajar darjah dua sahaja. Saya berpeluang mengajarnya ketika menjadi guru sementara pada tahun 2004 di Sekolah Kebangsaan Berisu, Melaka.

Sekolah itu kecil sahaja. Murid darjah dua hanya dua belas orang. Antara mereka ada seorang pelajar lelaki yang amat nakal. Jika saya menulis di papan hitam, dia pasti tidak duduk diam di belakang. Ada sahaja rakan menangis diganggunya.

Geram saya dibuatnya. Bila dihukum atau dimarahi, dia hanya tersenyum sahaja. Kerja rumah pula jarang disiapkan. Asyik-asyik 'saya lupa ustaz', itulah alasannya. Rasanya sepanjang saya mengajar di situ, dialah murid yang paling banyak ditegur dan dimarahi. Dialah pelajar yang paling banyak menaikkan darah saya.

Tetapi dalam nakalnya itu, dialah murid paling rajin membantu guru. Jika kapur habis tanpa disuruh pun dia akan berlari ambilkan di pejabat. Kalau papan hitam kotor belum sempat saya beri arahan dia sudah berebut hendak tolong padamkan. Habis kotor seluar biru pekatnya dengan habuk papan hitam itu. Dia kerap tersengih sahaja.

Paling mengharukan bahkan sampai sekarang saya ingati, peristiwa sambutan hari guru. Ketika itu saya baru sahaja tiba ke sekolah. Belum sempat hendak keluar daru kereta, dari jauh dia meluru datang, menjerit nama saya 'Ustaz Asraaaff, selamat hari guruu!'

Semua rakannya melopong. Guru lain pun terperanjat. Dia dengan tersenyum terus hulurkan saya hadiah hari guru. Saya mengambilnya dan dia terus berpaling, lari ke arah rakannya untuk menyambung 'tugasan' biasa; mengusik mereka.

Wallahi, saya amat terharu dengan kejadian itu. Sungguh terharu. Mendapat hadiah hari guru dari anak murid yang langsung tidak disangka. Hadiahnya biasa sahaja. Mug air terukir tulisan 'selamat hari guru' yang nilainya tidak sampai lima ringgit.

Tetapi sampai sekarang saya simpan cawan itu. Nilai lebih mahal dari lima juta ringgit kerana ia mengajar saya erti perkataan ikhlas dan hati suci. Walaupun kerap dimarahi, pelajar ini tidak pernah menyimpan benci. Hatinya amat suci dan mulia.

Saya doakan anak murid ini berjaya dalam hidupnya. Saya juga doakan anda selaku pembaca mendapat pengajaran sama: erti hati yang ikhlas dan suci.

Semoga kisah anak kecil ini membantu kita mencapai kebesaran erti ikhlas kerana Allah Ta'ala.

-Ustaz Asraff Ayob

#21FormulaHidupLuarBiasa