Assalamualaikum wbt,

Bismillahirrahmanirrahim.

Tertarik untuk wawa kongsikan, pendapat mengenai hukum wanita/perempuan membaca Alquran ketika haid & nifas. Mungkin ramai yang tertanya2, atleast boleh bagi sedikit info untuk rakan2..

====

Soalan Pertama : apakah hukum orang yang datang haid dan nifas membaca Al Quran. 
Soalan Kedua : Sekiranya perempuan itu tidakmenghafal beberapa surah Al Quran, maka adakah boleh perempuan itu memegang Al Quran.
Soalan Ketiga : Adakah boleh perempuan haid dan nifas mendengar bacaan Al Quran. 

Jawapan : 

Segala puji hanya tertentu bagi Allah dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.


Masalah ini adalah masalah yang berselisih pendapat antara ahli-ahli imu. 

Pendapat Pertama : Diharamkan Perempuan Haid Membaca Al Quran

Jumhur ulama berpendapat, haram ke atas orang perempuan yang kedatangan haid membaca Al Quran hinggalah perempuan itu bersuci barulah dibolehkan perempuan itu membaca Al Quran.
Dalil Ulama Yang Mengharamkan Perempuan Haid Membaca Al Quran

Mereka memasukkan orang haid dan nifas ke dalam golongan orang yang berhadath besar. Iaitu orang haid, berhadas besar dan nifas, semua mereka ini tidak dibenarkan bahkan haram ke atas mereka membaca Al Quran tidak kira sama ada membaca Al Quran daripada hafalan atau membaca Al Quran daripada mushaf.

Mereka berdalilkan dengan hadith nabi :
أْنَّ الْجُنُبَ لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنُ
yang bermaksud : bahawa orang yang berjunub atau berhadas besar tidak boleh membaca Al Quran. 

Dan hadith lain :
لاَ تَقْرَأُ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ. (أبو داود، الترمذي).
yang bermaksud : orang haid dan orang nifas tidak boleh membaca Al Quran sedikitpun. 

Ini kerana junub adalah hadas besar dan haid juga adalah hadas besar.

Begitu juga dengan orang nifas termasuk dalam larangan membaca Al Quran.

Bagi pendapat mazhab Hanafi, diharamkan bagi perempuan haid membaca Al Quran melainkan jika perempuan itu seorang guru, maka dibolehkan perempuan itu membaca Al Quran dengan syarat perempuan itu hendaklah mengajarkan anak muridnya satu kalimah-satu kalimah, iaitu dengan memisahkan satu kalimah dengan kalimah yang lain dan tidak boleh disambungkan kalimah-kalimah itu, dan tidak boleh perempuan itu membaca ayat, begitu juga dibolehkan perempuan itu membaca ayat Al Quran kerana membuka sesuatu perkara yang dibacakan basmalah (bismillahir rahmanir rahim), dan begitu juga dibolehkan ke atas perempuan itu membaca ayat-ayat pendek dengan niat doa atau puji-puji Allah. 

Bagi pendapat mazhab Syafie, diharamkan perempuan haid membaca Al Quran walaupun satu huruf sekalipun, sekiranya perempuan itu berniat membaca Al Quran kerana membaca Al Quran, bukan kerana zikir dan bukan kerana berdoa dengan membaca ayat Al Quran, maka haramlah ke atas perempuan itu, tetapi jika perempuan itu berniat zikir seperti perempuan itu ketika makan dia membaca, bimillahir rahmanir rahim, atau lancar sebutan lidahnya dengan niat zikir dan bukannya niat membaca Al Quran, maka tidaklah diharamkan dia membaca Al Quran itu, iaitu dengan

Ringkasnya, pendapat jumhur ulama mengatakan, apa-apa bacaan Al Quran, tidak dibenarkan sama sekali melainkan jika perempuan itu membaca Al Quran dengan berniat zikir atau membaca Al Quran ketikaberdoa, dengan syarat tidak membaca Al Quran dengan niat membaca Al Quran, maka dua cara ini adalah dibolehkan, tetapi selain daripada dua cara ini maka diharamkan perempuan membaca Al Quran. 

Pendapat Kedua : Dibolehkan Perempuan Haid Membaca Al Quran

Sebahagian ahli ilmu lain bependapat, diharuskan dan dibolehkan perempuan yang kedatangan haid membaca Al Quran. Pendapat ini adalah pendapat Imam Malik, dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Pendapat ini telah dipilih oleh Syeikh Al Islam Ibnu Taymiah dan telah ditarjihkan oleh Imam As Syaukani. 

Berkatalah Al Fadhil As Syeikh Ibrahim Jalhum, Syeikh Masjid Az Zainabi di Kaherah, dibolehkan kepada perempuan yang kedatangan haid untuk membaca Al Quran sedangkan darah haid tengah keluar, bagi pendapat ulama-ulama besar dalam mazhab Maliki mengatakan dibolehkan perempuan haid membaca Al Quran sedangkan darah haid tengah keluar. Tetapi apabila darah haid itu sudah berhenti, maka tidak dibenarkan lagi perempuan itu membaca Al Quran sebelum perempuan itu mandi kerana perempuan itu boleh mandi maka tidak dibenarkan perempuan itu membaca Al Quran.

Pendapat ini mengatakan perempuan haid dan nifas boleh membaca Al Quran seperti dia menjadi guru, atau dia belajar Al Quran, atau dia mengajar anak-anak membaca Al Quran.

Dalil Ulama Yang Membenarkan Perempuan Haid Dan Nifas Membaca Al Quran

Ulama yang membenarkan perempuan haid dan nifas membaca Al Quran kerana masa haid dan nifas adalah panjang, maka tidak boleh dimasukkan haid dan nifas ke dalam golongan orang yang berjunud kerana orang yang berjunub masanya adalah pendek. Orang yang berhadas besar boleh mandi selepas dia selesai dengan hajatnya tetapi orang yang haid dan nifas tidak boleh mandi untuk mengangkat hadas besar selama kedatangan haid dan nifasnya itu. 

Ulama yang membenarkan orang perempuan membaca Al Quran juga berdalilkan dengan satu hadith yang mana isteri baginda Aisyah kedatangan haid ketika melakukan haji wida'. maka Nabi Muhammad pun bersabda :
اِفْعَلِيْ مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَلاَّ تَطُوْفِيْ بِالْبَيْتِ حَتَى تَطْهُرِيْ
yang bermaksud : buatlah apa yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji tetapi jangan kamu tawaf di Kaabah hinggalah kamu bersuci.

Sabdaan Nabi Muhammad : "buatlah apa yang orang yang mengerjakan haji buat" adalah termasuk juga membaca Al Quran. Iaitu orang yang mengerjakan haji banyak melakukan amalan ibadah, termasuk membaca Al Quran. Difahamkan daripadanya bacalah Al Quran sebagaimana orang yang mengerjakan haji membaca Al Quran, melainkan jangan tawaf di Kaabah sahaja. 

Tawaf di Kaabah adalah sama martabat dengan solat, maka Nabi tidak membenarkan tawaf kerana orang haid tidak dibenarkan solat. Kalaulah membaca Al Quran itu tidak dibenarkan maka sudah tentu Nabi Muhammad akan melarang Aisyah dan selain Aisyah daripada membaca Al Quran sama ada ketika haji wada' atau bukan haji wada'

Maka Nabi Muhammad membenarkan membaca Al Quran. 

Maka tidak betul kalau disamakan orang yang berhadas besar dengan orang yang haid dan nifas.

Ulama ini juga berkata bahawa hadith yang diguna pakai oleh ulama yang mengharamkan orang haid dan nifas membaca Al Quran adalah hadith yang lemah. Ini kerana dalam hadith itu ada seorang perawi yang bernama Ismail Bin 'Iyasy dari Musa Ibnu 'Uqbah dan dari Al Hijaziyyin, maka riwayat Ismail ini daripada Al Hijaziyyin adalah lemah. Inilah pendapat yang betul.

Jika sekolah yang ada peperiksaan atau yang tidak ada peperiksaan maka dibenarkan perempuan haid itu membaca Al Quran daripada hafalannya dan bukannya daripada mushaf.

Maka dibenarkan orang haid dan nifas membaca Al Quran seperti membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, atau membaca Al Quran daripada hafalannya. Boleh membaca Al Quran di mana sahaja dan pada bila-bila masa jua. 

Sudah diketahui umum bahawa setiap rumah ada perempuan yang kedatangan haid atau nifas. Jika tidak dibenarkan membaca Al Quran maka sudah tentu Nabi Muhammad akan memberitahunya.

Adapun dalil orang berhadas besar tidak boleh membaca Al Quran kerana Nabi Muhammad sendiri, akan membaca Al Quran pada setiap masa melainkan ketika Nabi Muhammad berhadah besar. Maka Nabi Muhammad tidak akan membaca Al Quran pada masa itu. 

Menghalang perempuan haid daripada membaca Al Quran adalah dikira mengurangkan pahala perempuan itu sendiri sedangkan Allah Taala memerintahkan kita membaca Al Quran dan menghafalnya, serta memperbanyakkan pahala dengan memahami ayat-ayat Al Quran. 


Semoga bermanfaat.