Assalamualaikum wbt,

2 hari berturut-turut wawa menerima customer yang mencari solusi masalah kulit berpanau. Pernah dulu sekali customer wawa ikhtiar atasi masalah panau dengan set panau shaklee. Dibawah ini wawa kongsikan artikel dari Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai masalah ini. Jemput baca ye, semoga bermanfaat.


APA ITU PANAU

Apakah penyakit panau?
Panau adalah jangkitan yang kerap berlaku pada lapisan luaran kulit disebabkan oleh kulat jenis Malassezia. Kulat ini biasanya ditemui pada bahagian kulit di mana terdapat banyak penghasilan sebum (minyak) seperti bahagian dada, belakang badan, muka dan kulit kepala. Kulat jenis Malassezia furfur ini adalah sebahagian daripada flora kulit yang normal dan menyebabkan jangkitan dalam keadaan-keadaan yang tertentu.
Bagaimanakah rupa penyakit panau?
Bahagian-bahagian badan yang biasa dijangkiti panau selalunya kaya dengan sebum seperti bahagian dada, belakang badan, lengan dan leher. Pesakit-pesakit mempunyai tompok-tompok pucat (putih, merah jambu) atau gelap (perang, hitam) dengan permukaan yang berdebu halus. Tompok-tompok ini berbentuk bulat atau bujur dan kadang-kala bercantum menyebabkan permukaan yang terlibat lebih  luas. Sesetengah pesakit berasa gatal pada bahagian yang terlibat.
Gambar-gambar berikut menunjukkan kepelbagaian warna pada tompok-tompok panau.

Siapa yang mendapat panau?
Panau boleh melibatkan semua peringkat umur. Walau bagaimanapun, ia lebih kerap berlaku di kalangan remaja dan belia. Pesakit yang kekurangan zat makanan atau mengambil ubat-ubatan seperti steroid sistemik dan immunosuppressant kerap mendapat panau. Begitu juga dengan pesakit hyperhidrosis atau peluh yang berlebihan.
Bagaimanakah diagnosis panau dibuat?
Kebiasaannya diagnosa dibuat berdasarkan rupa panau di bahagian badan dan disahkan dengan penggunaan mikroskop. Ini melibatkan pengambilan sampel dengan cara kikisan atau penggunaan cellophane tape. Dengan menggunakan mikroskop, kulat seolah-olah berupa sphaghetti dan bebola “daging”. Penggunaan Wood’s lamp dengan sinaran ultraungu pada gelombang 365nm boleh menunjukkan warna kekuningan pada bahagian badan yang mempunyai panau bagi sesetengah kes.

Bentuk sphaghetti dan bebola “daging” – hyphae dan spora bila dilihat di bawah mikroskop.
Adakah panau itu berjangkit?
Tidak. Ramai orang dewasa mempunyai kulat ini pada badan mereka tanpa mendatangkan apa-apa masalah.
Adakah panau kerap berlaku?
Panau kerap berlaku di kawasan tropika dengan insiden setinggi 40%.
Bagaimanakah panau dirawat?
Panau boleh dirawat dengan dua kaedah iaitu ubat sapu atau ubat makan/sistemik. Ubat sapu pada keseluruhannya lebih selamat dan dibahagikan kepada jenis ubat yang tidak spesifik terhadap kulat dan antikulat.
Contoh-contoh ubat tidak spesifik terhadap kulat:
  • Losyen 2.5% selenium sulphide
  • Propylene glycol
  • Whitfield’s ointment
Ubat sapu antikulat:
  • Kumpulan azole – clotrimazole, miconazole, ketoconazole, econazole, tioconazole
  • Krim terbinafine
Rawatan sistemik antikulat hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang mempunyai panau yang teruk, panau yang berulang atau panau yang gagal dirawat dengan ubat sapu. Rawatan sistemik hanya boleh diberi oleh doktor atau pakar kulit disebabkan risiko kesan sampingan ubat dan tindak balas dengan ubat-ubatan lain. Contoh-contoh ubat sistemik antikulat adalahitraconazole, fluconazole dan ketoconazole.
Bolehkah panau itu sembuh?
Ya. Secara keseluruhannya pesakit boleh sembuh dengan rawatan yang tersebut di atas. Segelintir pesakit yang mempunyai tompok-tompok pucat mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun sebelum warna kulit kembali seperti sedia kala. Ini tidak bermakna yang rawatan itu telah gagal. Kulat menghasilkan bahan kimia yang toksik dan menghalang fungsi sel-sel pigmen semasa jangkitan aktif. Ia mengambil masa untuk pulih.
Bagaimanakah cara untuk mengelakkan panau daripada berulang?
Kadar penyakit ini berulang adalah setinggi 60% pada tahun pertama. Losyen selenium suphide boleh digunakan sebulan sekali untuk mengelakkan panau daripada berulang. Kadang-kala pengambilan ubat sistemik antikulat selama sehari atau sehingga tiga hari sebulan turut membantu.