Assalamualaikum wbt,
Semalam sempat bersembang dengan sahabat wawa, katanya nak mencari supplemen untuk persediaan menjadi ibu. Wawa kongsikan sedikit info dengannya. Korang pun patut tahu tau...")
Sedikit ilmu yang wawa korek dari sini..semoga bermanfaat.
Perlukah ibu hamil mengambil
sebarang vitamin ataupun suplemen kesihatan sepanjang kehamilan? Adakah bakal
ibu masih tercari-cari apakah vitamin atau suplemen kesihatan yang sesuai
semasa kehamilan?
Apabila disahkan hamil, seorang
bakal ibu pastinya akan merujuk dan mencari sumber terbaik bagi bayi yang bakal
dilahirkan. Salah satu soalan yang sering ditanya oleh ibu hamil ialah
berkaitan keperluan pengambilan vitamin atau suplemen kesihatan.
Diet yang seimbang adalah cara
terbaik bagi mendapatkan nutrient yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam
kandungan. Justeru itu, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan daripada
pelbagai sumber bagi memastikan bayi dalam kandungan mendapat semua vitamin dan
mineral yang diperlukan. Ia juga bagi memastikan ibu mendapat tenaga yang
diperlukan sepanjang kehamilan.
Walau bagaimanapun,terdapat
sesetengah ibu hamil yang tidak dapat memakan makanan yang mengandungi nutrien
tertentu atas sebab alahan, mual-mual atau loya, muntah yang teruk, dan
sebagainya. Oleh sebab itu, pengambilan suplemen vitamin adalah disarankan bagi
melengkapkan keperluan nutrien yang diperlukan, bukan sahaja untuk ibu malahan
untuk tumbesaran bayi dalan kandungan. Pengambilan vitamin dan suplemen
kesihatan semasa hamil digalakkan kerana dapat mengurangkan risiko kecacatan
bayi, kelahiran pramatang dan kekurangan berat bayi.
Apakah vitamin dan suplemen
kesihatan yang penting bagi ibu hamil?
Secara amnya, ibu hamil
disarankan mengambil vitamin dan suplemen mengikut keperluan dirinya atau
saranan daripada doktor dan ahli farmasi. Beberapa vitamin dan suplemen yang
biasanya perlu di ambil oleh ibu hamil adalah:
Asid Folik
Asid folik merupakan suplemen
yang paling penting terutamanya semasa trimester pertama kehamilan. Pengambilan
asid folik boleh mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan pada tulang
belakang (kecacatan tiub neural). Kecacatan tiub neural iaitu spina bifida
berlaku apabila saraf di dalam tulang belakang terdedah dan rosak.
(Sumber: American Medical
Association 2011)
Sebaik-baiknya asid folik diambil
apabila seseorang wanita merancang untuk hamil. Asid folik dengan dos 400mcg
perlu diambil setiap hari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama
kehamilan. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan yang mengandungi folat
(bentuk semulajadi Asid Folik) seperti sayur-sayuran hijau dan kekacang.
Dalam sesetengah keadaan, dos
asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5mg mungkin akan disyorkan oleh
doktor. Sebagai contohnya:
- Ibu hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural dalam kehamilan terdahulu.
- Ibu hamil yang sedang mengambil sebarang ubat anti-epileptik.
- Ibu hamil yang menghidapi penyakit kencing manis.
Zat Besi
Ibu hamil biasanya akan menjalani
ujian darah yang akan menunjukkan sama ada kandungan zat besi dalam badan
mencukupi ataupun tidak. Jika kandungan zat besi ibu hamil rendah, suplemen zat
besi perlu diambil. Ini disebabkan jumlah darah dalam badan ibu semakin
bertambah bagi menyokong tumbesaran bayi dalam kandungan. Badan akan menggunakan
zat besi yang tersimpan dalam badan sekiranya ibu kurang mengambilnya dalam
diet. Akibatnya, penyimpanan zat besi dalam badan akan berkurang dan boleh
membawa kepada anemia.
Risiko kelahiran pramatang dapat
dikurangkan dengan pengambilan zat besi. Selain itu, pengumpulan zat besi dalam
badan juga penting kerana ibu akan kehilangan banyak darah semasa melahirkan.
Bayi yang bakal lahir juga mempunyai simpanan zat besi dalam badan mereka. Zat
besi ini berasal daripada darah ibunya melalui uri dan boleh bertahan sehingga
4 bulan.
Biasanya, jika ibu mengambil zat
besi lebih daripada kuantiti yang disyorkan iaitu 30mg, ia boleh mengganggu
saluran pencernaan seperti mengalami sembelit yang dialami oleh kebanyakan ibu
hamil, loya ataupun cirit-birit. Suplemen kesihatan dengan kandungan zat besi
dalam kuantiti 30mg atau kurang biasanya tidak memberikan sebarang masalah
berkaitan.
Ibu hamil disyorkan berbincang
dengan doktor berkaitan ketidakselesaan yang dialami. Sekiranya ibu hamil tidak
mengalami anemia, terdapat pilihan untuk bertukar kepada suplemen kesihatan
dengan kandungan zat besi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, bagi ibu hamil
yang mengalami anemia dan tiada pilihan untuk bertukar kepada suplemen lain,
disyorkan untuk minum jus prun ataupun mengambil buah-buahan dengan lebih kerap
bagi mengatasi masalah sembelit.
Sumber makanan terbaik yang
mengandungi zat besi adalah seperti daging merah, kismis, kurma, kekacang dan
sayur-sayuran.
Kalsium
Ibu hamil juga memerlukan kalsium
bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester
ketiga. Kalsium juga penting sepanjang kehamilan bagi mengelakkan kekejangan
otot kaki ibu. Sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia turut menyebabkan
berlaku kekejangan otot dan kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.
Biasanya suplemen ini akan
diperskripsikan untuk wanita hamil yang alah terhadap susu atau tidak dapat
mengambil kalsium yang cukup dalam pemakanan harian mereka. Kekurangan kalsium
yang serius boleh mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang
boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.
Pengambilan kalsium sehari yang
dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun)
dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).
Asid Lemak Perlu
Asid Lemak Perlu seperti asid
lemak omega-3 DHA dan EPA juga penting bagi pembentukan otak dan saraf bayi
dari peringkat awal pembentukan. Ikan adalah sumber utama DHA dan EPA tetapi
ibu perlu berhati-hati supaya tidak makan terlalu banyak ikan yang mengandungi
kandungan merkuri yang tinggi. Memandangkan omega-3 adalah sangat penting untuk
bayi, adalah idea yang baik untuk berbincang dengan doktor sama ada ibu
memerlukan suplemen tambahan yang mengandungi omega-3 ataupun tidak.
Vitamin D
Vitamin larut lemak seperti
vitamin D turut membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat kerana vitamin D
memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam
badan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu hamil mengambil vitamin D tambahan
bagi memastikan tulang yang sihat serta menyediakan bayi dengan vitamin D yang
mencukupi bagi beberapa bulan pertama mereka. Dos yang dicadangkan ialah 200IU
vitamin D setiap hari.
Sumber makanan terbaik yang
mengandungi vitamin D adalah ikan sardin, ikan mackerel, ikan salmon, telur dan
daging.
Tips pengambilan vitamin dan
suplemen
- Sebelum membeli sebarang vitamin atau suplemen, baca label dengan teliti bagi memastikan dos dan kandungan yang tepat dan selamat dipilih agar sesuai dengan keperluan ibu.
- Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang penggunaan ubat serta gaya hidup bagi menentukan vitamin dan suplemen kesihatan yang terbaik dan selamat diambil.
- Pastikan ibu hamil tidak mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selain yang dicadangkan oleh doktor ataupun ahli farmasi.
- Bagi mengelakkan loya, cuba ambil suplemen kesihatan pada waktu malam sebelum tidur. Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil sebarang vitamin atau suplemen kesihatan selepas makan bagi mengurangkan iritasi dengan perut kosong.
- Bincanglah dengan doktor atau ahli farmasi mengenai multivitamin khas untuk kehamilan. Ia seharusnya mengandungi asif folik, zat besi, vitamin D dan kalsium. Dapatkan juga multivitamin yang mengandungi vitamin C, vitamin D, vitamin B seperti B6 dan B12, potassium, zink dan vitamin E.
- Multivitamin bagi kehamilan tidak mengandungi retinol, iaitu vitamin A daripada sumber haiwan, kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, retinol boleh menjadi racun kepada bayi dalam kandungan. Ibu hamil juga perlu mengelakkan makanan yang mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi seperti hati dan juga produk berasaskan hati seperti minyak hati ikan (fish liver oil). Bagaimanapun, vitamin A boleh diambil dalam bentuk provitamin A, iaitu betakarotin yang diperolehi daripada sumber tumbuhan dan selamat untuk bayi.
5 Comments
info yang sangat baik ni..
ReplyDeletememang perlu sangat..agar ibu mengandung lebih berstamina..anak sihat..harap ibu ibu memahami keperluan makanan tambahan ..
ReplyDeletemmg perlu utk tumbesaran dan kesihatan bayi dalam kandungan
ReplyDeletesaya ada masalh kurang darah/anemia.. bahaya kalau mgandung..kena amalkan asid folik bebanyak n seangkatan dgnnnya.. T_T
ReplyDeleteBetul. Paling penting folic acid.
ReplyDeleteSebelum get pregnant pun dah boleh start.
Elak neural tube defect.
Post a Comment
Terima Kasih singgah comment. Semoga sentiasa ceria dan bahagia selalu..😊