Assalamualaikum wbt,
Ada sorang kawan bertanya tadi, adakah dia mengalami tanda-tanda kanser usus. Ini hasil pembacaan wawa tadi.
Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.
Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.
Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.
Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.
Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.
Tanda-tanda
Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

  • Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.
  • Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.
  • Najis bercampur dengan darah.
  • Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).
  • Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).
  • Perut rasa memulas.
  • Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).
  • Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).
  • Muntah.
  • Hilang selera makan.
  • Berat badan turun tanpa sebab.
  • Kerap penat.
  • Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.
    Faktor risiko
    Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:
  • Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.
  • Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.
  • Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.
  • Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.
  • Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.
  • Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.
  • Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.
  • Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.
  • Kurang bersenam.

Sumber: mommynemo

Semoga bermanfaat.